|
KUALA LUMPUR 1 April - Lebih 200 program Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) akan dijayakan pada tahun ini oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama pelbagai pihak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, program yang dianjurkan itu merangkumi pameran, pertandingan bengkel, ceramah dan persembahan kreativiti muzikal. Menurutnya, program yang dilaksanakan itu menyasarkan penyertaan semua golongan masyarakat. "Tujuan utama MI2010 adalah untuk memupuk budaya inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat. "Ia hanya akan berjaya mencapai tujuannya jika para cendekiawan, kakitangan kerajaan serta pihak swasta bekerjasama untuk mengubah minda masing-masing sesuai dengan aliran dan perkembangan global," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2010 Universiti Malaya (UM) di sini hari ini. Ekspo tiga hari itu yang akan berlangsung sehingga Sabtu ini di Dewan Tunku Canselor UM mempamerkan hasil ciptaan para pensyarah dan mahasiswa UM. Sebanyak 243 buah gerai pameran terlibat dalam ekspo tersebut. Sementara itu Fadillah berkata, langkah UM menganjurkan Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2010 merupakan satu usaha yang baik dalam menyahut saranan kerajaan mempromosikan tahun inovasi 2010. "Ekspo ini bukan sahaja bertujuan mempamerkan hasil penyelidikan para penyelidik dan siswazah UM tetapi juga amat penting dalam memupuk semangat inovasi dan memberi inspirasi kepada masyarakat. "Saya harap semua pihak akan terus memberikan komitmen dalam usaha meningkatkan kesedaran, minat dan kefahaman budaya kreatif dan inovatif di peringkat masyarakat," katanya.
|