|
Dengan penuh rasa hormatnya saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada saudara-saudara kita di Negeri Sarawak khususnya kepada masyarakat Dayak dan Selamat Hari Kaamatan kepada sahabat-sahabat kita di Negeri Sabah khususnya kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut.
Hari Gawai Dayak dan Pesta Kaamatan mempunyai hubungan yang erat kerana ia berkait rapat dengan musim menuai padi. Masyarakat tempatan menjadikan upacara ini untuk menunjukkan rasa syukur dan berterima kasih atas tuaian padi yang baik pada tahun tersebut. Kedua-dua perayaan ini biasanya disambut oleh segenap lapisan masyarakat di kedua-dua negeri dengan penuh meriah. Semangat persaudaraan yang sekian lama terjalin masih lagi dipertahankan dengan amalan kunjung-mengunjung sesama rakan. Inilah yang harus kita pertahankan dan kekalkan untuk warisan generasi mendatang. Kita seharusya menolak sebarang anasir jahat yang cemburu akan kesepakatan dan keutuhan perpaduan yang kita warisi. Mereka sudah semestinya cemburu akan kejayaan yang kita ada dan mengintai sebarang peluang untuk membangkitkan rasa tidak puas hati dan dendam sesama kita. Saya yakin yang masyarakat di Sabah dan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya ingin hidup di dalam suasana yang aman dan harmoni. Saling hormat menghormati dan saling bantu membantu antara satu dengan yang lain. Inilah nilai asas yang harus ada di dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan. Sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Gawai kepada sahabat-sahabat di Sarawak dan Selamat Hari Kaamatan kepada masyarakat Sabah. Mohon maaf saya tidak dapat bersama-sama anda menyambutnya kerana menghadiri tugasan rasmi di Kuala Lumpur. Akhir kalam, Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Betuah Belimpah, Lantang Senang Nguan Menua dan Kotobian Om Kounsikaan Do Tadau Tagayo Do Kaamatan Sekian, terima kasih. Salam 1Malaysia Haji Fadillah Bin Haji Yusof Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya
|